Monday, 14 December 2015

Lesen Pendudukan Sementara (LPS) dalam Kanun Tanah Negara (KTN)


Dalam Kanun Tanah Negara 1965, seksyen yang berkaitan dengan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) ialah seksyen 65, 66, 67, 68, 68A dan 69. 


Seksyen 65 : Memperuntukan bahawa PBN boleh mengeluarkan LPS ke atas mana-mana tanah negeri, tanah lombong dan tanah rizab.


Seksyen 66 : Pula memperuntukkan kuasa Pentadbir Tanah untuk mengeluarkan LPS. Lesen ini tidak boleh dikeluarkan bagi kawasan sungai.

Seksyen 67 : Menetapkan tempoh, syarat dan bentuk LPS. Pentadbir Tanah boleh memperbaharui LPS sebanyak 3 kali tanpa perlu melalui keizinan khas dari PBN.

Seksyen 68 : Melarang pindah milik LPS. Lesen ini juga akan terhampus dengan kematian individu atau penggulungan syarikat pemegang lesen.

Seksyen 68A : Membenarkan PBN mengenakan deposit keatas pemegang LPS.


Seksyen 69 : Mewujudkan LPS berbeza untuk pengeluaran batuan dalam tempoh 5 tahun.

Walaupun Lesen Pendudukan Sementara hanya bersifat lesen, namun perkara berhubung dengan tanah terdapat halangan dan peraturan untuk mengawalnya supaya semua hal berkaitan tanah tidak berlaku sebarang masalah dan pertelingkahan.

Seksyen 65, Kanun Tanah Negara


Seksyen 65 Kanun Tanah Negara - Kuasa melesenkan pendudukan sementara tanah Kerajaan, tanah lombong dan tanah rizab.

(1)   Pihak Berkuasa Negeri bolehlah, selaras dengan peruntukan-peruntukan Bab ini dan mana-mana kaedah di bawah seksyen 14, membenarkan pendudukan sementara di bawah lesen –
(a)    Tanah Kerajaan ;
(b)   Tanah lombong yang bukan pada masa itu digunakan untuk maksud-maksud perlombongan ;
(c)    Tanah rizab yang bukan pada masa itu digunakan untuk maksud-maksud yang ia dirizabkan.

(2)   Lesen-lesen pendudukan sementara bolehlah dikeluarkan untuk apa-apa maksud selain daripada apa yang dilarang oleh subseksyen (2) seksyen 42.

Seksyen 66, Kanun Tanah Negara


Seksyen 66 Kanun Tanah Negara – Pengeluaran lesen-lesen pendudukan sementara.

Lesen-lesen pendudukan sementara bolehlah, tertakluk kepada apa-apa arahan yang bertentangan oleh Pihak Berkuasa Negeri dan kepada peruntukan-peruntukan mana-mana kaedah di bawah seksyen 14, dikeluarkan atau diperbaharui bagi Pihak Berkuasa Negeri-

(a)    Dalam kes tanah kerajaan, oleh Pentadbir Tanah

(b)   Dalam kes tanah lombong, oleh Pentadbir Tanah yang bertindak dengan kelulusan-
(i)                 Inspektor Kanan Galian, atau mana-mana pegawai lain yang buat masa itu ditugaskan dengan pentadbiran di dalam Negeri itu mengenai mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan perlombongan,dan juga dengan kelulusan mana-mana pemegang pajakan tanah itu ;
(ii)               Orang atau badan yang buat masa itu berhak kepada faedah pajakan atau sijil perlombongan yang dipersoalkan ;

(c)    Dalam kes tanah rizab-
(i)                 Oleh Pentadbir Tanah yang bertindak dengan kelulusan pegawai yang buat masa itu mempunyai kawalan ke atasnya; atau
(ii)               Oleh pengawai itu, bila dan setakat mana yang dia diberi kuasa bagi tujuan itu oleh Pihak Berkuasa Negeri;


Dengan syarat bahawa tiada apa-apa dalam seksyen ini boleh memberi kuasa kepada Pentadbir Tanah untuk mengeluarkan lesen pendudukan sementara berkenaan dengan mana-mana sungai sebagaimana yang diisytiharkan oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui pemberitahuan dalam Warta bagi maksud proviso ini.

Seksyen 67, Kanun Tanah Negara


Seksyen 67 Kanun Tanah Negara- Jangka masa, syarat-syarat, dll. , dan bentuk lesen-lesen pendudukan sementara

(1)   Kecuali setakat mana yang ditetapkan sebaliknya, tiap-tiap lesen pendudukan sementara selain dari yang mana seksyen 69 dipakai (iaitu, satu lesen pendudukan sementara yang disatukan dengan satu permit untuk mencabut dan memindah bahan batuan) hendaklah dikeluarkan bagi suatu tempoh yang tamat tidak lewat daripada penghujung tahun calendar dalam mana ia bermula dan tertakluk kepada subseksyen (3) bolehlah diperbaharui pada tiap-tiap tahun:


  • Dengan syarat bahawa satu lesen yang dikeluarkan untuk maksud membolehkan mana-mana pertunjukan atau hiburan awam diadakan bolehlah dikeluarkan untuk apa-apa tempoh lain sebagaimana yang sesuai dalam keadaan-keadaan itu.


(2)   Tiap-tiap lesen pendudukan sementara hendaklah mempunyai kesan tertakluk kepada apa-apa peruntukan sebagaimana yang terkandung di dalamnya dan setakat mana yang tidak bercanggah dengannya, kepada apa-apa peruntukan lain yang mungkin ditetapkan.

(3)   Tertakluk kepada syarat di bawah mana satu lesen pendudukan sementara telah dikeluarkan, Pentadbir Tanah bolehlah, atas permohonan oleh pemegang lesen mebaharui lesen sedemikian bagi satu tempoh yang tidak lebih dari satu tahun kalendar:

  • Dengan syarat bahawa tidaklah ada lebih dari tiga pembaharuan yang dibuat berkenaan dengan sesuatu lesen pendudukan sementara melainkan suatu kebenaran bertulis yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri telah didapati terlebih dahulu.



(4)   Tiap-tiap lesen pendudukan sementara selain dari yang mana seksyen 69 dipakai hendaklah dalam Borang 4A, dan dalam kes pembaharuan lesen sedemikian ia hendaklah diendorskan dengan suatu kes pembaharuan itu dan terikh yang ia dijangka tamat.

Seksyen 68 & 68A, Kanun Tanah Negara


Seksyen 68 Kanun Tanah Negara- Lesen-lesen pendudukan sementara tidak berupaya dipindahmilik atau dialihhak atas kematian

Kecuali setakat mana yang ditetapkan sebaliknya, suatu lesen pendudukan sementara tidak berupaya diserahak; dan tiap-tiap lesen sedemikian hendaklah, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 416, terhenti atas kematian orang itu, atau pembubaran badan itu, yang buat masa itu berhak untuk mendapat faedah darinya.

Sekyen 68A Kanun Tanah Negara- Deposit berkenaan dengan Lesen Pendudukan Sementara


Pihak Berkuasa Negeri boleh jika difikirkannya sesuai mengarahkan bahawa, kecuali dalam keadaan tertentu sebagaimana yang dinyatakan dalam arahan, Pentadbir Tanah atau pegawai lain yang mengeluarkan mana-mana lesen pendudukan sementara hendaklah menghendaki orang atau badan yang kepadanya lesen itu dikeluarkan untuk mendeposit dengannya sejumlah wang yang difikirkannya munasabah sebagai sekuriti bagi pemulihan tanah dengan mana lesen pendudukan sementara itu ada kaitan apabila terhentinya lesen itu.

Seksyen 69, Kanun Tanah Negara


Seksyen 69 Kanun Tanah Negara- Lesen pendudukan sementara dan permit yang disatukan di bawah Bab 3.

(1)   Tanpa menjejaskan keluasan makna subseksyen (2) seksyen 65, maksud-maksud yang untuknya lesen pendudukan sementara boleh dikeluarkan hendaklah termasuk pencabutan dan pemindahan apa-apa bahan batuan (selain daripada maksud untuk mendapatkan logam dan galian darinya) dari tanah dengan mana lesen itu ada kaitan; dan, dalam mana-mana kes sedemikian, lesen itu-

(a)    Hendaklah dibuat dalam Borang 4B, dan

(b)   Boleh dikeluarkan untuk tempoh maksimum yang tidak melebihi lima tahun, atau untuk beberapa tahun yang lebih lama seperti yang ditetapkan.

(2)   Setakat mana yang ia memberi kuasa untuk pencabutan dan pemindahan bahan batuan dari tanah, suatu lesen pendudukan sementara hendaklah, meskipun ia dikeluarkan selaras dengan, dan mempunyai kesan tertakluk kepada, peruntukan-peruntukan Bab ini, disifatkan sebagai merupakan satu permit yang dikeluarkan dengan sah bagi Pihak Berkuasa Negeri selaras dengan peruntukan-peruntukan Bab 3; dan selaras dengannya-

(a)    Apa-apa arahan yang diberi oleh Pihak Berkuasa Negeri di bawah seksyen 74 hendaklah dipakai berhubung dengan lesen-lesen yang memberi kuasa untuk pencabutan dan pemindahan bahan batuan sebagaimana ia dipakai untuk permit-permit di bawah Bab itu, dan


(b)   Apa-apa lesen sedemikian hendaklah mempunyai kesan yang serupa berhubung dengan apa-apa syarat yang kepadanya tanah yang dipersoalkan tertakluk buat masa itu sebagaimana permit sedemikian mempunyai kesan menurut kuasa seksyen 75.

CONTOH KES LESEN PENDUDUKAN SEMENTARA
Papoo lwn Veeriah (1965) 1 MLJ 127

Lesen Pendudukan Sementara (LPS) hanya merupakan satu lesen, ia tidak boleh diwarisi oleh keluarga pemegang lesen yang meninggal dunia.

Fakta Kes
Perayu, balu dan pentadbir tanah harta si-mati (yang sewaktu hidupnya memiliki sebuah rumah yang dibina di atas tanah Lesen Pendudukan Sementara (LPS) yang juga atas nama si mati) telah memohon kepada mahkamah tinggi bagi mendapatkan perintah memindahmilik harta-harta si-mati kepadanya yang merupakan waris tunggal semua harta pusaka si mati.

Keputusan Mahkamah
Mahkamah telah menolak permohonan perayu. Hakim Good telah menegaskan bahawa Lesen Pendudukan Sementara (LPS) , sebagaimana yang tersirat daripada namanya ialah satu lesen menduduki dan tidak lebih daripada itu. Lesen itu adalah untuk kegunaan pemegang sendiri dan ia mati bersama pemegangnya.

Hakim Good juga menyatakan bahawa bukan hanya tanah bahkan apa sahaja yang dibina atasnya tidak boleh dipindahmilik oleh pemegangnya semasa hidupnya atau dipusakai oleh warisnya, sama ada menerusi wasiat atau sebaliknya.

Sekyen 68, Kanun Tanah Negara juga menyatakan bahawa Lesen Pendudukan Sementara (LPS) tamat dengan kematian atau pembubaran pemegangnya, tanah dan apa sahaja yang dibina atasnya tidak boleh diwasiatkan dan dijadikan harta pusaka.

CONTOH KES LESEN PENDUDUKAN SEMENTARA
Pendakwaraya lwn Yap Tai (1947) 13 MLJ 50

Kes ini berkaitan dengan Pemegang Lesen Pendudukan Sementara (LPS) yang terus menduduki tanah kerajaan setelah Lesen Pendudukan Sementara (LPS) tamat adalah seorang penceroboh dan boleh didakwa kerana menduduki tanah kerajaan secara haram.

Fakta Kes
Responden telah menduduki tanah kerajaan di bawah Lesen Pendudukan Sementara (LPS) selama beberapa tahun. Lesen terakhir yang dikeluarkan kepadanya telah tamat tempohnya pada akhir tahun 1945 dan lesen ini telah tidak diperbaharui. Responden kemudiannya telah diperintah keluar serta merobohkan rumahnya dalam masa 80 hari selepas penyampaian notis. Oleh kerana responden telah gagal berbuat demikian, dia telah didakwa menceroboh tanah kerajaan. 

Mahkamah bicara telah menolak saman terhadap yang dituduh, atas alasan bahawa pendudukan itu tidak menyalahi undang-undang dan mahkamah mengganggap penghuni tersebut sebagai seorang penyewa yang terus menghuni tanah atau bangunan selepas tempoh penyewaan tamat. Apabila pendakwaraya merayu, Hakim Spenser-Wilkinson telah memutuskan bahawa hakim bicara telah tersilap. Beliau menyatakan bahawa tertuduh sebenarnya adalah seorang penceroboh. 

Keputusan Mahkamah
Bagaimanapun, mahkamah memutuskan bahawa dia hendaklah diberi notis yang munasabah untuk mengosongkan tanah itu dan memindahkan barang kepunyaannya dari situ. Jika bangunan yang didirikan di atas tanah yang dipegang di bawah Lesen Pendudukan Sementara (LPS), maka menurut Seksyen 47, Kanun Tanah Negara, semua bangunan yang ada di atas tanah berkenaan, kecuali mana-mana yang boleh dipindahkan atau dibina sementara adalah terletak hak kepada Pihak Berkuasa Negeri. Seksyen 47(2), Kanun Tanah Negara seterusnya memperutukkan bahawa pemilik bangunan itu juga tidak akan dibayar apa-apa pampasan. 

CONTOH KES LESEN PENDUDUKAN SEMENTARA
: Mohamed lwn Kunji Mohidin [1967] 1 MLJ 96

Kes ini berkaitan dengan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) boleh dikeluarkan kepada lebih daripada seorang untuk tujuan yang berlainan terhadap satu tanah yang sama. Sekiranya seorang pemegang LPS itu mengganggu hak pemegang LPS yang lain, maka orang yang diganggu itu berhak untuk menuntut gantirugi.

Fakta kes
Responden diberikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) pada tahun 1956 untuk tujuan memetik buah kelapa dari pokok yang terdapat di atas tanah sebidang tanah. Selepas itu Pihak Berkuasa Negeri mengeluarkan Lesen Pendudukan Sementara (LPS)  kepada perayu untuk tujuan menternak ayam di atas tanah yang sama. Perayu kemudiannya menebang sebabagian dari pokok kelapa di situ. Responden memohon ganti rugi di atas kehilangan sumber pendapatannya akibat penebangan pokok itu. 

Keputusan Mahkamah
Mahkamah memutuskan bahawa Lesen Pendudukan Sementara (LPS) yang diberikan kepada perayu adalah sah walaupun ia dibuat di atas tanah yang sama. Ini kerana Lesen Pendudukan Sementara (LPS)  itu diluluskan untuk tujuan yang berbeza. Responden berhak mendapat gantirugi setakat kehilangan sumber pendapatannya sahaja bukan ke atas kehilangan pokok kelapa itu, kerana pokok-pokok tersebut bukan miliknya.


Walaupun Lesen Pendudukan Sementara (LPS)  hanya memberikan kebenaran untuk menduduki, pemegangnya mempunyai hak penggunaan dan penikmatan tanah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 44 dan 45, Kanun Tanah Negara. Ini bermakna pemegang Lesen Pendudukan Sementara (LPS)  mempunyai hak untuk mendapat sokongan tanah, hak menggunakan ruang udara dan bawah tanah serta hak keluar masuk. Pemegang Lesen Pendudukan Sementara (LPS)  juga boleh menikmati hak sampingan untuk mendapatkan hasil batuan dan hutan sebagaimana yang diperuntukkan di dalam seksyen 45, Kanun Tanah Negara.